Selasa, 24 Januari 2012

MENGENAL DZAT ALLAH

Mengenal Allah adalah pokok kepada kehidupan kita. Inilah fitrah setiap jiwa. Pasti ada kemahuan di dalam hatinya untuk mengenal Penciptanya. Inilah awal petunjuk hidayah yang Allah Ta'ala hunjamkan ke dalam kesedaran insan. Dan sememangnya insan itu diperintah oleh Allah Ta'ala untuk mengenal diri nya sendiri supaya dapat dia mengakui keagungan Pencipta Nya.

Disebabkan kemahuan ini, maka insan mencari jalan yang boleh membawanya kepada pengenalan ini sehingga ke peringkat "makrifatullah", yakni mengenal Allah Ta'ala pada Zat Nya dengan pengenalan yang sempurna.

"Huwal Awwalu Wal Aakhiru Wazzhohiru Wal Baatin" Artinya: Dia lah (yakni Allah) yang Awwal dan yang Akhir, yang Zohir dan yang Batin. Inilah hakikat Zat Allah Ta'ala. Cuba renungkan ayat ini dan cuba cari dalil naqli dan aqli untuk mendapatkan haqqul yaqin didalam hati.

Sering kita mendengar orang menyebut hadith Rasulullah SAW tentang larang memikirkan tentang Zat Allah Ta'ala. Namun tafsirannya tersasar jauh dari kebenaran. Maksud hadith ini ialah jangan kita bayang-bayangkan Zat Allah Ta'ala kerana Dia tidak dapat dibayang-bayangkan oleh akal dan fikiran insan. Namun maksudnya yang sebenar ialah menuntut insan supaya fana kepada Wajah (Zat) Allah Ta'ala, yakni lebur di dalam Nya. Insan itu kosong, maka wajib ke atasnya untuk fana fillah, yakni menyerahkan kembali amanah kehidupannya kepada yang Yang Maha Hidup (Al-Hayyu). Inilah konsep Tauhid sejati kerana Zat Nya Esa (Ahad) didalam keWujudanNya yang meliputi sekalian apa yang ada di langit mahupun di bumi. Tiada lah akan Dia sekutu barang apa pun.

Rasulullah SAW telah bersabda,"Solat dua rakaat seorang 'Alim (seorang yang berilmu) itu adalah lebih utama dari solat seribu rakaat seorang 'Abid (seorang yang kuat beribadah)." Nah, renungkan maksud hadith ini. Sesungguhnya hadith ini merujuk kepada amalan orang yang telah mengenal hakikat diri nya berbanding dengan amalan orang yang belum mengenal hakikat diri nya.

Sudah ditakdirkan agar insan itu kembali kepada hakikat asalnya. Maka itu, mulakanlah langkah kembali mu dengan menyebut Nama Pencipta mu. Inna lillahi, wa inna ilaihi roji'un. Sekaliannya milik Allah dan sekaliannya akan kembali kepada Nya. Carilah jalan pulang kepada Zat yang Esa itu sebelum kamu mati. Inilah amanah kehidupan mu. Jalan pulang itu adalah jalan fana fillah. Carilah jalan ini melalui Waliyyam Mursyida, yakni Allah Ta'ala sendiri. Berdoalah kepada Nya supaya ditunjukkan jalan fana fillah ini.

Wa laa tamutunna illaa wa antum muslimun. Janganlah kamu mati melainkan kamu telah menyerahkan semula amanah (kepada Pemiliknya yakni Allah Ta'ala). Jadilah kamu seorang Muslim, kemudian jadilah kamu seorang Mukmin, dan kemudian jadilah kamu seorang Muhsin di atas wadah Islam, Iman dan Ihsan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar